Saturday, 25 August 2012

karangan surat rasmi








Contoh Karangan Surat Rasmi

Persatuan Tunas Kadet Remaja,
Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra,
43950 Sungai Pelik, Sepang,
Selangor Darul Ehsan.


Tuan Guru Besar,
Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra,
43950 Sungai Pelik, Sepang,
Selangor Darul Ehsan. 05 MAC 2010

Tuan,

Memohon Mengadakan Perkhemahan Tahunan

Sukacita dimaklumkan perkara di atas adalah dirujuki.

2. Ahli Jawatankuasa Persatuan Kadet Remaja sekolah akan mengadakan aktiviti perkhemahan tahunan. Perhemahan ini akan diadakan pada cuti pertengahan penggal yang akan datang selama tiga hari, dua malam iaitu pada 28 Mei hingga 30 Mei 2010 

3. Kami bercadang untuk mengadakan perkhemahan ini di Hutan Reakriasi Ulu Bendul, Negeri Sembilan. Tempat ini dipilih kerana mempunyai persekitaran yang mencabar kepada para ahli . 

4. Tujuan perkhemahan ini diadakan adalah sebagai aktiviti tahunan pertubuhan ini. Selain itu, perkhemahan ini diadakan untuk memberikan pengalaman di samping dapat memupuk nilai-nilai murni di kalangan murid seperti berdisiplin, bekerjasama dan sebagainya.

5. Sebanyak 30 orang ahli akan menyertai perkhemahan ini. Mereka terdiri daripada murid tahun empat hingga tahun enam. Selain itu, empat orang guru penasihat akan turut serta dalam perkhemahan ini.

Besarlah harapan kami agar permohonan ini dapat dipertimbangkan. Kerjasama daripada pihak tuan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sekian. 

karangan laporan dan syarahan


CONTOHKARANGAN BERFORMAT

Laporan Pertandingan Pidato

Persatuan Bahasa Melayu sekolah ini telah menganjurkan pertandingan pidato. Pertandingan ini diadakan pada 6 April 2010 di dewan sekolah. Pertandingan yang bermula pada pukul 9.00 pagi.

Pertandingan pidato ini diadakan bertujuan memilih wakil sekolah untuk menyertai pertandingan pidato di peringkat daerah. Selain ini, pertandingan ini akan memberi peluang murid-murid menonjolkan bakat masing-masing dalam pidato.

Pertandingan ini terbuka kepada murid-murid tahap dua. Pada peringkat awal sebanyak 30 orang murid telah menyampaikan pidato masing-masing. Lapan orang murid sahaja yang dipilih untuk pertandingan akhir.

Hakim pertandingan akhir terdiri daripada beberapa orang guru iaitu Cikgu Aminuddin Sarmiran, beliau telah menghakimi bahagian isi, Cikgu Anuar Ahmad telah menghakimi bahagian penyampaian, dan Cikgu Bangidin Bedu pula telah menghakimi bahagian bahasa. Dua orang murid telah ditugaskan menjaga masa.-

Johan pertandingan ini ialah Amira binti Amir, Tahun 6 Bestari. Naib johan Amrizan bin Zaman dari Tahun 6 Jujur, dan tempat ketiga pula ialah Azmi bin Mohamad dari Tahun 5 Amanah. Amira binti Amir akan mewakili sekolah dalam pertandingan pidato peringkat daerah.

Pertandingan pada tahun ini telah mendapat sambutan yang hebat berdasarkan penyertaan murid, berbanding tahun lalu. Selain itu, murid-murid telah menunjukkan minat yang mendalam apabila dewan sekolah telah penuh sesak dengan kehadiran mereka untuk menyeksikan pertandingan tersebut.


Disediakan oleh, 12 APRIL 2010

…………………

(JASMIN BINTI JASMAN)
Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra,
Sepang, Selangor.


Contoh Karangan Syarahan

Yang saya hormati Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana dan hadirin sekalian. Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah ‘Sikap berusaha dan berdikari perlu bagi seseorang pelajar.’
Hadirin sekelian,
Berusaha bermaksud melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan.Berdikari pula bermaksud , berusaha tanpa megharapkan bantuan orang lain. Sikap berusaha dan berdikari akan membawa kejayaan dan akan dihormati oleh masyarakat.
Seseorang pelajar perlu menanamkan sikap berusaha dan berdikari. Mereka tidak boleh semata-mata mengharapkan ajaran guru sahaja . Mereka perlu rajin, berusaha dan berdikari untuk berjaya dengan cemerlang.
Hadirin sekelian,
Masyarakat yang kuat berusaha dan berdikari adalah masyarakat maju. Sebagai contoh negara Jepun, usaha gigih dan berdikara rakyatnya telah meletakan Jepun sebagai kuasa ekonomi dunia pada hari ini.
Oleh itu , kita janganlah mengharapkan yang pipih datang melayang dan yang bulat datang bergolek , jika ingin merangkul kecemerlangan kita mesti kuat berusaha. Negara pula tidak akan maju selagi rakyatnya hanya mengharapkan subsidi daripada kerajaan dan tidak mampu berdikari . Saya akhiri syarahan ini dengan serangkap pantun;
Hidangan tersaji hendaklah dijamah ,
Jangan terlupa membasuh tangan ;
Mengharap bantuan , tandanya lemah ,
Berusaha berdikar kunci kegemilangan .
Sekian , terima kasih .




Contoh Karangan Ucapan


Yang mulia Tuan Pengerusi Majlis, Tuan Guru Besar, yang diraikan Cikgu Nor Ekhsan, guru-guru, dan rakan-rakan sekalian. Salam sejahtera saya ucapkan. Terlebih dahulu, saya mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang menyampaikan ucapan dalam majlis ini.

Seperti yang kita sedia maklum, hari ini merupakan hari terakhir bagi Cikgu Nor Ekhsan di sekolah ini. Cikgu Nor Ekhsan telah menerima segulung ijazah setelah menamatkan Pengajian Jarak Jauh di Universiti Putra Malaysia dan akan bertukar ke sekolah menengah. Saya mewakili rakan-rakan mengucapkan tahniah dan selamat berpisah kepada cikgu.

Hadirin sekalian,

  1. Sepanjang tempoh tujuh tahun cikgu di sekolah ini, banyak ilmu dan pengalaman dicurahkan kepada kami, lebih-lebih lagi cikgu merupakan seorang guru yang serba boleh. Dengan usaha cikgu yang tidak mengenal jemu telah membuahkan kecemerlangan dalam UPSR pada setiap tahun.

Saya bagi pihak rakan-rakan mengambil peluang ini untuk merakamkan jutaan terima kasih atas pengorbanan cikgu membantu kami meningkatakan kecemerlangan dalam bidang kurikulum dan kokurikum. Sesungguhnya segala nasihat dan tunjuk ajar cikgu akan sentiasa tersemat di hati kami.

Hadirin sekalian,

Pada kesempatan ini juga, kami melahirkan rasa bangga atas kejayaan cikgu. Semoga kejayaan tersebut akan mendorong kami berusaha dengan lebih gigih lagi untuk mencapai kecemerlangan bagi diri kami.

Akhir sekali, saya bagi pihak rakan-rakan mengucapkan selamat berpisah dan selamat berjaya kepada Cikgu Nor Ekhsan dan doa kami semoga cikgu akan terus berjaya dan bahagia selalau di samping keluarga tersayang.

Kalau ada sumur di ladang,
Bolehlah saya menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
Bolehlah kita berjumpa lagi.

karangan fakta


Kokurikulum ialah aktiviti yang dijalankan di luar bilik darjah. Aktiviti kokurikulum di sekolah termasuklah persatuan, unit beruniform dan permainan. Ia biasanya dijalankan pada waktu petang atau pada hari Sabtu.

         Menyertai aktiviti kokurikulum dapat membantu kita mengisi masa lapang. Selalunya, aktiviti kokurikulum dilaksanakan pada waktu petang iaitu selepas sesi persekolahan. Masa lapang pada waktu ini dapat dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti berfaedah seperti menyertai pasukan pengakap atau kelab seni dan kebudayaan.

          Selain itu, aktiviti kokurikulum juga dapat merapatkan hubungan kita dengan rakan-rakan dan guru-guru. Kebanyakan aktiviti yang dijalankan dalam persatuan, unit beruniform dan permainan dilakukan secara berkumpulan atau berpasukan. Aktiviti berpasukan seperti permainan bola baling atau bola jaring memerlukan kerjasama murid-murid untuk mencapai kemenangan.

           Di samping itu, aktiviti kokurikulum juga dapat mengasah bakat murid-murid. Melalui aktiviti yang dijalankan dalam kelab atau persatuan, kita dapat mencungkil bakat contohnya dalam bidang nyanyian, tarian, puisi atau seni lukis.

          Menyertai aktiviti kokurikulum juga dapat menambah ilmu pengetahuan dan memberi pengalaman baharu kepada murid-murid. Banyak aktiviti yang mendatangkan faedah dalam pasukan pengakap seperti mempelajari ikatan untuk membina peralatan, pengalaman berkhemah atau melakukan khidmat masyarakat.

          Aktiviti kokurikulum sangat penting dan banyak memberi kebaikan kepada murid-murid. Kita perlu menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah untuk meningkatkan kemahiran dan mengasah bakat dalam pelbagai bidang.